Pencalonan dan Kriteria Pemilihan

Penetapan Genre untuk Tahun 2010 

Setiap tahun pihak penganjur di Bangkok akan menetapkan genre dalam proses pemilihan penerima. Genre bagi tahun 2010 yang telah ditetapkan ialah genre Puisi. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Penganjur memberikan kebebasan kepada Jawatankuasa Pemilihan negara masing-masing untuk menetapkan genre.

Pencalonan untuk Anugerah S.E.A. Write

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka selaku Sekretariat Tetap Anugerah S.E.A. Write Malaysia, pencalonan khususkan kepada karyawan yang telah menghasilkan karya yang bermutu tinggi dan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air. Institusi-institusi dan badan-badan yang sah dan berdaftar serta orang perseorangan yang berwibawa dalam bidang sastera dipelawa untuk mengemukakan calon yang layak untuk dipertimbangkan bagi menerima anugerah tersebut.

Peraturan dan Syarat Pencalonan

Pencalonan hendaklah dikemukakan kepada Panel Penilai melalui Sekretariat Tetap berdasarkan format pencalonan yang disediakan oleh Sekretariat


Pencalonan boleh dikemukakan oleh badan atau institusi yang sah dan berdaftar dan juga orang perseorangan yang berwibawa dalam bidang sastera, termasuk anggota panel dan penerima Anugerah yang terdahulu.


Syarat mengemukakan calon:

(a) Pencalon hendaklah mengemukakan satu nama sahaja.
(b) Pencalon hendaklah mengemukakan hujah secara bertulis berdasarkan:
  • Penilaian terhadap karya sastera calon,
  • Penilaian tentang sumbangan fikiran calon yang berkaitan dengan dunia sastera,
  • Penilaian saksama tentang kegiatan calon tersebut yang menyumbang ke arah pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan.

Calon yang dikemukakan hendaklah warganegara Malaysia yang menulis karya-karyanya dalam Bahasa Malaysia yang masih hidup, dan secara berterusan berkarya serta menghasilkan mana-mana karya kreatif seperti novel, cerpen, puisi dan naskhah drama, yang turut menyumbang dan mewarnai dunia sastera kebangsaan. Karya bukan kreatif seperti esei, kritikan, autobiografi, biografi serta kegiatan sastera, dianggap sebagai unsur tambahan.
 

Syarat Penerimaan Pencalonan 
  • Pencalon yang sah.
  • Pencalonan mestilah disokong dengan bukti-bukti yang kukuh yang terdiri daripada hasil karya calon, personaliti calon.
  • Tulisan atau laporan pengiktirafan oleh sarjana/individu berkelayakan.
  • Pihak yang mencalonkan bertanggungjawab untuk menerangkan bukti-bukti itu kepada panel pemilih.

Kriteria Pemilihan
  • Karya yang layak untuk pemilihan ialah edisi yang diterbitkan dalam tempoh tiga tahun daripada tahun pemilihan.
  • Karya yang telah menerima anugerah kebangsaan masih layak untuk penyertaan.
  • Karya hendaklah dalam sebarang bahasa yang digunakan dalam sempadan negara penerima.
  • Penulis mestilah menyumbang kepada pengembangan budaya dan sastera negaranya melalui penulisannya.
  • Penerima dipilih tanpa mengira bangsa, jantina atau agama dan hendaklah masih hidup pada masa pencalonan.
  • Karya yang tidak menepati kriteria di atas boleh ditolak oleh Jawatankuasa Pemilih dan Jawatankuasa Penghakiman.

Dasar Pemilhan Calon Penerima

  • Pemilihan dibuat setiap tahun untuk memberi pengiktirafan tertinggi bertaraf antarabangsa kepada tokoh penulis yang masih hidup yang menulis dalam bahasa kebangsaan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan sekretariat.
  • Memberikan penghargaan kepada tokoh penulis yang menurut panel telah memberikan sumbangan yang cemerlang terhadap perkembangan kesusasteraan kebangsaan melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan penulisan yang bermutu tinggi.
  • Pencalonan dibuat kepada penulis mana-mana bidang kreatif daripada mana-mana genre (novel, cerpen, puisi dan naskhah drama) bagi negara dalam sesuatu tahun pemilihan.
  • Calon terpilih layak dipertimbangkan untuk pengiktirafan/ penghargaan tinggi yang lain di dalam dan di luar negara.

Sumber :
1. Dewan Bahasa dan Pustaka
2. Buku cenderamata 2010 S.E.A. Write Award